PRU15: Wee Ka Siong terkilan pemimpin PH hadir dalam perjumpaan Ahli Parlimen BN



Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong bertegas, tiada sebarang perjumpaan di antara Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan wakil Pakatan Harapan (PH) berlangsung ketika beliau berada di Hotel Seri Pacific dari 10 pagi hingga 12 tengah hari ini.

Beliau yang memenangi kerusi Parlimen Ayer Hitam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu berkata, perjumpaan yang diadakan selama dua jam itu hanya melibatkan Ahli-Ahli Parlimen BN sahaja.
"Perlu ditegaskan tiada sebarang perjumpaan di antara Ahli Parlimen BN dan wakil PH berlangsung ketika saya berada di Seri Pacific Hotel dari 10 pagi hingga 12 tengahari.
"Apa yang pasti, saya hanya menghadiri perjumpaan bersama Pengerusi BN dengan semua Ahli Parlimen BN sahaja," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya pada Isnin.
Ka Siong berkata, beliau terkilan kerana sebaik sahaja tiba di hotel berkenaan, pemimpin PH turut hadir dalam perjumpaan itu.
"Satu sidang media telah diadakan selepas perjumpaan yang hanya melibatkan Ahli Parlimen BN dan puluhan wartawan telah membuat liputan.
"Saya terkilan apabila sebaik saja tiba di Seri Pacific Hotel, pemimpin-pemimpin PH turut hadir dalam perjumpaan ini. Saya tidak tahu sama ada ianya telah pun diatur terlebih awal atau pun satu kebetulan," ujarnya lagi.
Tambahnya, apa sahaja keputusan yang dibuat oleh BN perlu mendapat persetujuan dan mandat daripada Dewan Tertinggi BN.
Jelas Ka Siong lagi, beliau menerima notis melalui aplikasi WhatsApp daripada Setiausaha Kerja BN pada jam 11.23 malam Ahad bahawa perjumpaan hari ini hanya melibatkan Ahli-Ahli Parlimen BN.


Post a Comment

0 Comments