Tiada Ahli Parlimen BN yang tandatangani SD sokong PH - Saravanan



Belum ada mana-mana Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menandatangani sebarang dokumen akuan bersumpah (SD) menyokong Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan.


Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan ketika mengesahkan hal itu menjelaskan, pendirian itu dibuat memandangkan setakat petang ini, BN belum membuat sebarang keputusan muktamad menyokong mana-mana pihak.


"Padi tadi kita bincang dengan Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi). Dia (sokongan kepada mana-mana pihak) tak sah selagi tak dimuktamadkan diperingkat BN.

"Walaupun sebelum bertanding, kita sudah bagi SD kepada pengerusi BN, tapi itu sekadar SD saja. Kita belum boleh sahkan selagi tak diputuskan, sebab kita tanding atas BN," katanya yang memenangi kerusi Parlimen Tapah.

Katanya, setiap parti dalam BN, UMNO, MCA, MIC serta PBRS mesti mencapai kata sepakat bersama mengenai sokongan kepada mana-mana gabungan.


Beliau juga berkata, perjumpaan dengan pemimpin PH pagi tadi adalah sesi perbincangan biasa antara BN dan PH, namun belum ada keputusan antara kedua-duanya.

Petang ini, BN dijangka memutuskan sokongannya kepada mana-mana pihak, sama ada PH atau Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan campuran.


BH juga difahamkan, beberapa pemimpin BN tertinggi juga mencadangkan supaya mereka kekal dalam blok pembangkang, namun bersedia bekerjasama dengan PH atau PN, hanya terhad kepada rundingan pemilihan calon Perdana Menteri bagi membentuk kerajaan.


Post a Comment

0 Comments