14 jam berenang bertarung nyawa untuk menyelamatkan diri


Kota Kinabalu: Lebih 14 jam bertarung nyawa dengan berenang mengharungi ombak kuat untuk menyelamatkan diri selepas terjatuh di laut ketika keluar menangkap ikan.


Itu pengalaman sukar dilupakan Al Sipal Abdullah, 30, yang terpaksa berenang bersendirian sebelum berjaya menghampiri sebuah kapal pelantar di perairan Pulau Sepanggar, di sini, semalam.


Menceritakan semula kejadian, Al Sipal berkata, dia bersama dua rakannya sebelum itu turun ke laut dengan menaiki bot pam berasingan untuk mencari rezeki kira-kira 4 pagi semalam.


Katanya, keadaan cuaca ketika itu amat baik dan berjaya menangkap empat ekor ikan kayu bersaiz besar.


"Bagaimanapun, pada 9.30 pagi, kegembiraan itu bertukar sebaliknya apabila cuaca tiba-tiba berubah menjadi buruk sebelum ombak kuat menghempas bot pam dinaiki saya.


"Ketika itu, angin kencang dan laut bergelora menyebabkan bot sukar dikawal sehingga menyebabkan saya terjatuh ke dalam laut," katanya ketika ditemui, hari ini.



Al Sipal berkata, dia cuba berenang untuk mengejar bot miliknya, namun sukar berikutan enjin masih hidup dan bot terus hilang dari pandangannya.


Katanya, keadaan arus ombak yang kuat turut melambatkan pergerakannya sebelum memilih untuk berhenti bagi menyimpan tenaga dan berusaha mencari daratan.


"Syukurlah ketika itu keadaan angin kuat dan arus air pasang juga menghala ke daratan lalu saya hanya berenang perlahan-lahan untuk mengikuti arah arus ombak.


"Selepas hampir dua jam berenang, jaket keselamatan saya bertambah berat lalu memilih untuk membukanya dan meneruskan usaha berenang tanpa pelampung," katanya.


Menurutnya, dalam keadaan genting itu, dia turut digigit oleh seekor sotong torak dan terus menarik hidupan laut berkenaan.


"Tanpa berfikir panjang, saya terus memakannya berikutan sangat lapar dan ia amat membantu untuk mengisi perut kosong selain memberi tenaga untuk berenang," katanya.


Menurutnya, cuaca mulai gelap lalu terus berenang berpandukan arah lampu kapal yang berlabuh di perairan Pulau Sepanggar dan bersyukur kerana akhirnya beberapa kru kapal pelantar membantu menaikkannya ke atas kapal.


"Ketika itu, saya menyedari wakti ketika itu sudah 11.30 malam (semalam) dan mereka kemudian menghubungi keluarga menggunakan telefon satelit sebelum membuat laporan polis.


"Saya tidak akan serik untuk turun ke laut selepas ini berikutan lautan itulah sumber rezeki," katanya.


Post a Comment

0 Comments