45persen setuju pengeluaran Khas KWSP secara bersasar


Hampir separuh daripada lebih 730 pembaca Berita Harian yang menyertai tinjauan pendapat bersetuju bahawa mereka yang memiliki caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kurang RM240,000 tidak layak untuk terbabit skim pengeluaran khas.

Berdasarkan data, sejumlah 45.4 peratus pembaca memilih bersetuju dengan had RM240,000 seperti ditetapkan KWSP sebagai sasaran simpanan minimum menjelang usia 55 tahun, selepas kira-kira tiga jam tinjauan di Twitter.



Sementara itu, 27.1 peratus lagi responden tidak bersetuju dan 26.2 peratus berpendapat ia bergantung kepada keadaan.

KWSP memaklumkan sebahagian besar pencarum masih mempunyai simpanan yang rendah dengan tahap simpanan penengah (median) untuk Bumiputera menyusut daripada RM6,600 pada hujung 2021 kepada RM4,700 pada hujung 2022, yang mana jauh daripada sasaran RM240,000 untuk simpanan asas.

Malah, KWSP turut melaporkan penurunan ketara dalam peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada usia 55 tahun) daripada 36 peratus pada 2020 kepada 30 peratus pada akhir 2021.


Keadaan itu secara langsung menunjukkan 70 peratus atau lebih dua pertiga daripada ahli berusia 55 tahun dan ke bawah, berada dalam situasi serius apabila jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan.


Sementara itu, beberapa pembaca yang menyertai tinjauan pendapat itu di Twitter turut meninggalkan komen, antaranya @amranbakar3 yang mencadangkan RM360,000 sebagai jumlah selamat untuk bersara.


@EncikWan pula berpendapat pengeluaran penuh perlu dibenarkan kepada pencarum yang tidak mencarum melebihi dua tahun, manakala @Eazrik berkata kerajaan tiada hak untuk menghalang pengeluaran untuk pencarum yang memiliki simpanan melebihi RM240,000.


Sebelum ini, Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (ProRakyat) mengemukakan Resolusi Pencarum KWSP memohon kerajaan membenarkan tuntutan pengeluaran simpanan KWSP antara RM10,000 hingga RM30,000 secara 'one-off'.


Menurut ProRakyat, ia sebagai langkah jangka pendek boleh dipertimbangkan kerajaan untuk memastikan rakyat tidak terputus wang tunai.


Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kerajaan perlu mempertimbangkan nasib dan masa depan pencarum sebelum membenarkan pengeluaran sekali lagi simpanan daripada KWSP.


Perdana Menteri berkata, adalah lebih baik kerajaan mencari jalan dan kaedah lain yang lebih berkesan dalam membantu rakyat yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan sebelum ini.


Sumber-Berita Harian


Post a Comment

0 Comments