RM11.6 bilion wang tidak dituntut pemilik: Laporan


Jumlah wang tidak dituntut oleh pemilik sah dilaporkan telah meningkat kepada RM11.6 bilion, naik sebanyak RM4.13 bilion, berbanding pada 2019 sebanyak RM6.93 bilion.


Pada 2017, bekas Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz memberitahu Dewan Rakyat bahawa wang tidak dituntut berjumlah RM5.96 bilion pada tahun itu, manakala pada 2019, Timbalan Menteri Kewangan ketika itu Amiruddin Hamzah memberitahu angka itu meningkat kepada RM6.93 bilion.



Bagaimanapun, dana itu masih boleh dituntut daripada Pendaftar Wang Tak Dituntut Kementerian Kewangan, menurut TheSun.


Wang tidak dituntut ditakrifkan sebagai dana yang dimiliki secara sah oleh orang ramai tetapi kekal tidak dituntut, atau wang yang telah tidak aktif dalam pelbagai akaun selama bertahun-tahun.

CARA TUNTUT WANG

👉https://www.hariharikerja.com/2023/02/cara-tuntut-wang-anda.html


TheSun memetik jurucakap Jabatan Akauntan Negara (JAN) sebagai berkata terdapat tiga kategori wang tidak dituntut.


Yang pertama adalah yang tidak dibayar sekurang-kurangnya setahun, seperti gaji, bonus, dividen dan tuntutan insurans; dan kedua ialah dana yang telah terbiar sekurang-kurangnya tujuh tahun dalam akaun simpanan, semasa dan simpanan tetap.


Kategori ketiga melibatkan wang yang dibayar untuk mengkreditkan akaun perdagangan yang telah tidak aktif selama sekurang-kurangnya dua tahun, seperti akaun pemiutang perdagangan dan akaun penghutang perdagangan dengan baki kredit.


“Masih terdapat sebilangan besar individu dan syarikat yang tidak mengetahui kewujudan dana tidak dituntut yang di bawah Akta Wang Tidak Dituntut 1965.


JAN juga dilaporkan telah terlibat dalam kesemua 100 program Aspirasi Keluarga Malaysia di seluruh negara untuk mendidik individu dan syarikat berkenaan cara menyemak dan membuat tuntutan mereka.


“Selain itu, kami juga menerima komen daripada individu yang tidak mahu menuntut wang mereka berikutan jumlah terbabit yang kecil. Apapun, kami telah memproses pembayaran sekecil RM0.01 untuk pemohon melalui eGUMIS, iaitu portal dalam talian kami di https://egumis.anm.gov.my/,” kata jurucakap itu.


Mengikut Seksyen 13(1) Akta tersebut, pembayaran hendaklah dibuat kepada mana-mana penerima yang boleh membuktikan dan memuaskan hati pegawai JAN bahawa dia mempunyai hak undang-undang terhadap wang tersebut seperti yang dituntut.


Jurucakap itu menggesa orang ramai menyemak wang tidak dituntut melalui eGUMIS, kaunter JAN di seluruh negara, atau melalui rekod yang diwartakan di Perpustakaan Negara. Orang ramai boleh memohon untuk menuntut wang mereka melalui dalam talian, kaunter atau pos berdaftar.


Orang ramai juga dinasihatkan merujuk kepada portal dalam taliannya untuk prosedur mendapatkan wang yang tidak dituntut. Brosur juga boleh dimuat turun melalui portal yang sama.


Post a Comment

0 Comments