Teks Penuh Ucapan YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN – 23 September 2020

Teks Penuh Ucapan YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN – 23 September 2020

TEKS UCAPAN 
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA 

PENGUMUMAN KERANGKA INISIATIF TAMBAHAN KHAS: KITA PRIHATIN 

23 SEPTEMBER 2020 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

1. Saudara dan saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi, apa khabar semua? Saya doakan anda sihat walafiat.

2. Hari ini saya tampil sekali lagi membawa beberapa perkhabaran penting berkait ekonomi negara kita. Seperti yang kita semua sedia maklum, perjuangan kita memerangi pandemik COVID-19 kini berada di dua perbatasan. Sementara anggota barisan hadapan kita sedang bertungkus lumus berjuang di perbatasan kesihatan untuk menyelamatkan nyawa rakyat, di perbatasan lain pula iaitu ekonomi negara, pihak Kerajaan dan agensi-agensi berkaitan bertungkus lumus menguruskan ekonomi negara yang terkesan dengan penularan Covid- 19.

3. Melalui pakej-pakej rangsangan ekonomi negara yang saya telah umumkan sebelum ini iaitu Prihatin, Prihatin PKS Tambahan dan Penjana – yang keseluruhannya bernilai lebih RM295 bilion — Kerajaan sedang giat menjalankan pemulihan ekonomi demi menjamin kesejahteraan hidup saudara dan saudari sekalian. Dalam hal ini, saya dan rakan-rakan dalam kabinet sentiasa terbuka menerima maklumbalas daripada orang ramai supaya kita dapat pastikan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan berkesan dalam meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat.

4. Saya juga sentiasa mengingatkan ahli-ahli jemaah Menteri supaya lebih kerap bertemu dengan pelbagai lapisan rakyat – orang muda dan warga emas, pekerja dan majikan, peniaga kecil dan pengusaha PKS, penjawat awam dan pekerja swasta, petani, penternak, nelayan dan masyarakat secara umumnya dari Lahad Datu di Sabah hingga ke Arau di Perlis untuk mendapatkan maklumbalas tentang keperluan-keperluan rakyat jelata yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.

5. Baru-baru ini, saya sendiri berkesempatan bertemu dengan Encik Rosali Md Nasid, Puan Chan Kam dan Puan Danaletchimi sewaktu lawatan saya ke PPR Desa Rajang Setapak. Saya mengambil perhatian segala luahan hati dan pandangan yang disampaikan oleh mereka dan termasuk juga komen-komen saudara dan saudari di media sosial.

6. Sejak awal lagi, apabila berdepan dengan cabaran kesihatan dan ekonomi disebabkan penularan wabak Covid-19, Kerajaan mengambil pendekatan strategik 6R iaitu Resolve (Ketegasan), Resilience (Ketahanan), Restart (Memulakan Semula), Recovery (Pemulihan), Revitalise (Memperkasa) dan Reform (Menyusun Semula). Kita sekarang berada di fasa ke-4, iaitu Recovery atau Pemulihan.

7. Secara keseluruhannya, pakej-pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan dan PENJANA telah melibatkan rangsangan ekonomi berjumlah RM295 bilion atau lebih kurang 20 peratus daripada nilai KDNK negara. Daripada jumlah tersebut, suntikan perbelanjaan tambahan oleh Kerajaan adalah RM45 bilion.

8. Alhamdulillah, pembiayaan perbelanjaan tersebut telahpun diluluskan di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Our nation’s elected representatives and senators rose to the call of duty and voted beyond party lines for the Bill to be passed, for the sake of our nation. Ini saya kira adalah satu kenyataan yang perlu kita ambil iktibar—masa depan dan nasib kita dalam menghadapi cabaran dan impak Covid-19 ini bergantung kepada kesatuan hati kita, kesatuan kerjasama antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dan kesatuan jiwa kita sebagai rakyat Malaysia. Jika kita tidak bekerjasama, jika kita berpecah-belah di musim serba mencabar ini, maka sukarlah Kerajaan untuk mencapai matlamat-matlamat kritikal yang menjamin kesejahteraan rakyat dan negara. Seikat lebih teguh dari sebatang, segemal lebih hasil dari setangkai.

9. Buat masa ini, angka terbaharu dari Jabatan Perangkaan Malaysia memperlihatkan perkembangan menggalakkan pada penunjuk-penunjuk ekonomi seperti indeks kadar pengangguran, indeks pembuatan, indeks penggunaan dan lain-lain. Kita sedang melihat berputiknya tanda-tanda awal yang ekonomi kita semakin pulih.

10. Sungguhpun ekonomi negara mencatatkan penguncupan KDNK yang besar pada suku kedua iaitu 17.1 peratus ekoran pelaksanaan PKP yang memerlukan hampir semua sektor ditutup, namun demikian, sekiranya dilihat dari sudut pencapaian bulan ke bulan, KDNK negara mencatatkan pertumbuhan dari negatif 28.6 peratus pada bulan April kepada negatif 19.5 peratus pada bulan Mei dan negatif 3.2 peratus pada bulan Jun. Ini merupakan pertumbuhan positif 25.4 peratus dalam tempoh 3 bulan sahaja.

11. Tambahan pula, beberapa indikator utama telah menunjukkan peningkatan hasil tindakan pantas Kerajaan melalui pakej PRIHATIN dan PENJANA. Indeks Pengeluaran Perindustrian atau Industrial Production Index mencatat peningkatan dalam tempoh empat bulan berturut-turut mengikut kiraan tahun-ke-tahun dari paras terendah negatif 32.0 peratus pada bulan April 2020 kepada positif 1.2 peratus pada bulan Julai 2020. Penjualan kereta penumpang juga telah mencatat kenaikan 12.8 peratus tahun-ke-tahun pada bulan Julai 2020 disokong oleh insentif pelepasan cukai untuk pembelian kereta yang diperkenalkan melalui PENJANA.

12. Indeks Pelopor atau IP yang mengukur isyarat hala tuju ekonomi ke hadapan dalam masa terdekat berkembang dengan kadar yang lebih pantas pada 4.5 peratus pada bulan Jun 2020 berbanding 0.6 peratus pada bulan Mei 2020. Perkembangan positif ini adalah berikutan sektor ekonomi telah dibenarkan untuk menyambung semula operasi di samping mematuhi normal baharu bermula dari 10 Jun 2020 dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP.

13. Menurut Bank Negara Malaysia, ekonomi negara dijangka mencatatkan pertumbuhan antara negatif 5.5 peratus ke negatif 3.5 peratus pada tahun 2020. Ini bermakna separuh tahun kedua tahun 2020 akan menyaksikan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi secara beransur. Bagi tahun 2021 pula, pertumbuhan diunjurkan antara 5.5 peratus dan 8 peratus, InsyaAllah.

14. Kementerian Kewangan akan memantau rapat langkah-langkah memperkasakan rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi untuk memastikan perjalanan pemulihan ekonomi kita berterusan. Untuk tujuan ini, agensi Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional atau LAKSANA telah ditubuhkan 6 bulan lalu. LAKSANA ditugaskan untuk menjejak setiap inisiatif, dana dan bantuan yang disalurkan kepada rakyat supaya sampai ke kumpulan sasar dengan tepat dan cepat. Pihak LAKSANA juga menyediakan laporan mingguan kepada saya dan rakyat Malaysia tentang status pakej stimulus ekonomi dan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam pelaksanaan inisiatif-inisiatif untuk rakyat.

15. Selepas setiap pakej rangsangan ekonomi diumumkan, Kerajaan tetap memantau di mana ruang yang boleh diperkasakan lagi. Penambahbaikan secara berterusan dibuat dalam memastikan tiada seorangpun rakyat yang terkecuali daripada mendapat bantuan. Antara penambahbaikan ini adalah Program Subsidi Upah, Tambahan Pembiayaan Mikro, Bantuan Prihatin Elektrik dan lain-lain lagi.

16. Pada bulan Julai yang lalu, saya juga telah mengumumkan Moratorium Lanjutan dan Bantuan Bank Secara Bersasar. Sehingga 11 September, institusi perbankan telah berbincang dengan lebih 1.4 juta peminjam, dan lebih 380 ribu peminjam telah mengesahkan yang mereka benar-benar memerlukan bantuan ini. Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa 98 peratus permohonan moratorium lanjutan dan bank bersasar telah diluluskan. Kerajaan akan terus memantau perkembangan terkini dan akan memastikan institusi perbankan memainkan peranan untuk membantu rakyat dan perniagaan yang benar- benar memerlukan dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini. Oleh itu, memandangkan moratorium automatik bakal berakhir hujung September ini, saya menyeru orang ramai yang masih belum memohon untuk segera menghubungi institusi perbankan masing-masing untuk membuat permohonan.

 

Baca Juga  :- BPN 2.0 : Bantuan Prihatin Nasional untuk Isi Rumah & Bujang – CARA MEMOHON / PERMOHONAN BAHARU

 

 

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

17. Saya ada beberapa pengumuman lagi untuk saudara dan saudari. Sejak awal lagi, Kerajaan berazam untuk menjadi Pentadbiran yang Prihatin – sebuah Kerajaan yang bukan sahaja memahami masalah yang dihadapi oleh rakyat, tetapi juga bertindak dengan cepat dan cekap untuk mengatasi cabaran-cabaran yang menggugat kesejahteraan rakyat dan negara. Kerajaan mesti bersikap prihatin kerana inilah yang diperlukan oleh rakyat jelata, lebih-lebih lagi di zaman yang amat mencabar ini.

18. Sehubungan itu, hari ini saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan Kerajaan Perikatan Nasional telah memutuskan untuk melaksanakan beberapa inisiatif dan bantuan tambahan khusus untuk saudara dan saudari sekalian di bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN, atau dengan ringkasnya, KITA PRIHATIN. Pakej ini mensasarkan kelompok-kelompok berikut iaitu:

a) golongan B40 yang berkeluarga dan bujang;
b) golongan M40 yang berkeluarga dan bujang;
c) golongan pekerja negara dalam pelbagai bidang; dan
d) golongan peniaga mikro dalam pelbagai bidang.

19. Meskipun terdapat tanda-tanda pemulihan dalam pasaran kerja, Kerajaan amat memahami akan kesukaran yang dihadapi oleh majikan dan pekerja dalam fasa pemulihan ekonomi. Dalam pakej PRIHATIN dan PRIHATIN PKS Tambahan, Kerajaan telah menyediakan sejumlah RM15.3 bilion bagi membiayai program subsidi upah atau wage subsidy kepada sehingga 3.3 juta orang pekerja. Sehingga 11 September 2020, seramai 2.63 juta orang pekerja dan lebih daripada 321 ribu majikan telah mendapat manfaat daripada pemberian subsidi upah ini yang melibatkan peruntukan sebanyak RM10.4 bilion. Permohonan untuk program subsidi upah adalah untuk tempoh 6 bulan bermula semenjak 1 April 2020 dan terbuka kepada semua sektor.

20. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan, Kerajaan telah memperkenalkan Program Subsidi Upah yang antara lain menyediakan bantuan bagi majikan tanpa mensyaratkan kehilangan hasil bagi syarikat kecil. Dengan peralihan kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, kebanyakan syarikat dapat beroperasi semula dan berniaga dengan giat. Permohonan untuk Program Subsidi Upah akan berakhir pada 30 September 2020.

21. Namun demikian, Kerajaan memahami dan prihatin terhadap majikan dan pekerja dalam sektor-sektor tertentu yang masih terjejas seperti sektor pelancongan.

22. Dengan itu, Kerajaan akan memperkenalkan Program Subsidi Upah 2.0 bagi membantu syarikat yang masih terjejas. Ciri-ciri utama program ini ialah:

Pertama: subsidi upah diberi kepada majikan yang masih terjejas, iaitu syarikat yang sejak PKPP masih menghadapi pengurangan hasil sekurang-kurangnya 30 peratus berbanding tahun lepas;

Kedua: subsidi upah diberi sehingga 3 bulan pada kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja sehingga maksimum 200 pekerja; dan

Ketiga: permohonan dibuka dari 1 Oktober sehingga 31 Disember 2020.

23. Saya juga telah menerima pelbagai maklumbalas berhubung Program Subsidi Upah. Antaranya daripada mereka yang tidak layak menerima Program Subsidi Upah kerana tidak menepati syarat kelayakan berdaftar dengan PERKESO sebelum 1 April 2020. Bagi memastikan golongan ini juga tidak tertinggal, Program Subsidi Upah 2.0 akan dibuka untuk syarikat yang berdaftar dengan PERKESO sehingga 31 Ogos 2020. Bagi permohonan baharu yang tidak pernah menerima bantuan di bawah Program Subsidi Upah, mereka akan layak menerima subsidi upah sehingga 6 bulan.

24. Pelaksanaan Program Subdisi Upah 2.0 ini dijangka memanfaatkan 1.3 juta pekerja dan melibatkan peruntukan sebanyak RM 2.4 bilion.

25. Kepada golongan peniaga mikro, di bawah pakej PRIHATIN PKS Tambahan, Kerajaan telah menyediakan Geran Khas PRIHATIN atau GKP, khusus untuk membantu mereka meringankan beban kewangan akibat penularan wabak Covid-19. Permohonan untuk GKP yang telah dibuka pada 1 Mei 2020 hingga 15 Mei 2020 dengan kadar bantuan berjumlah RM3,000 setiap peniaga mikro telah memanfaatkan 545 ribu peniaga kecil seluruh negara. Untuk tujuan ini, Kerajaan membuat penyaluran sebanyak RM1.63 bilion.

26. Semasa turun ke padang dan bergaul dengan usahawan di peringkat akar umbi, saya menerima rungutan bahawa ada yang tidak menerima bantuan tersebut kerana tidak sempat untuk membuat permohonan. Terdapat juga peniaga yang tidak memenuhi syarat terdaftar sebelum 1 Januari 2020.

27. Untuk memastikan lebih ramai peniaga mikro yang layak tetapi masih belum berkesempatan untuk mendapatkan GKP, Kerajaan bersetuju untuk membuka semula permohonan GKP mulai 1 Oktober hingga 31 Oktober 2020. Mengambil kira maklumbalas yang diterima, GKP akan dibuka kepada peniaga mikro yang berdaftar atau memegang lesen berniaga dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau Pihak Berkuasa Tempatan sehingga 31 Ogos 2020. Bayaran disasarkan akan dibuat mulai 25 November 2020.

28. Pembukaan semula inisiatif GKP untuk permohonan baharu dijangka dapat memanfaat lebih daripada 200,000 peniaga mikro dengan melibatkan peruntukan sebanyak hampir RM 600 juta.

Saudara dan saudari sekelian,

29. Saya dapati Bantuan Prihatin Nasional atau BPN yang disalurkan melalui pakej PRIHATIN telah memberikan bantuan yang tepat pada masanya kepada ramai penerima. Kerajaan telah membelanjakan RM11.2 bilion untuk BPN yang memanfaatkan 10.6 juta penerima. Ada yang menggunakannya untuk memulakan perniagaan pembekalan makanan separa siap seperti kambing perap, dan menggunakan pendigitalan untuk merancakkan perniagaan. Sebahagian besar menggunakannya untuk menyara keluarga sepanjang tempoh PKP dan PKPB.

30. Dalam fasa PKPP, ekonomi negara telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Namun kita semua tahu krisis wabak COVID-19 belum berakhir. Pertumbuhan KDNK negara menunjukkan pemulihan daripada negatif 28.6 peratus pada bulan April kepada negatif 3.2 peratus pada bulan Jun, namun ekonomi masih belum rancak sepenuhnya. Kadar pengangguran menunjukkan penurunan daripada 5.3 peratus pada bulan Mei kepada 4.7 peratus pada bulan Julai 2020, tetapi pengangguran masih berada pada tahap antara yang tertinggi dalam sejarah negara kita.

31. Saya faham terdapat industri yang memerlukan masa yang lebih lama untuk pulih akibat pandemik COVID-19 seperti industri pelancongan. Malah syarikat penerbangan juga terpaksa mengurangkan bilangan pekerja.

32. Disebabkan itu, para pekerja dalam industri ini terpaksa mencari alternatif lain untuk meneruskan kelangsungan hidup masing-masing. Ada yang menceburi bidang perniagaan dan ada juga yang memberanikan diri mencuba kemahiran baru.

33. Saya mengambil contoh pasangan suami isteri yang dahulunya bekerja sebagai pramugara dan pramugari, Encik Zareq Akhtar dan Puan Nazira Azenan yang kini telah membuka pusat mencuci dan perincian kereta. Langkah yang serupa turut diambil oleh saudari Didi Nadhirah, saudara Nabiel Haniff dan Chidie Gillo yang membuka perniagaan kedai makan Dhapor Pramugari. Seorang lagi bekas Kapten pesawat, Saudara Khairul Ajid yang kini memilih kerjaya sebagai penghantar makanan.

34. Mengambilkira segala kesukaran yang masih dihadapi oleh rakyat, Kerajaan membuat keputusan untuk menyediakan bantuan tambahan untuk rakyat melalui pemberian tunai tambahan di bawah Bantuan Prihatin Nasional 2.0 dengan peruntukan hampir RM7 bilion.

35. Jumlah bantuan yang akan disalurkan di bawah BPN 2.0 adalah seperti berikut:

Pertama: RM1,000 kepada 3.7 juta isi rumah B40;
Kedua: RM500 kepada 3.8 juta kumpulan B40 bujang;
Ketiga:RM600 kepada hampir 1.4 juta isi rumah M40; dan
Keempat: RM300 kepada 1.7 juta kumpulan M40 bujang

36. Bayaran BPN 2.0 akan dibuat dalam dua ansuran, pertamanya pada hujung bulan Oktober 2020 dan keduanya, pada bulan Januari 2021. Bagi golongan B40, bayaran ansuran pertama bulan Oktober adalah sebanyak RM700 dan keduanya, pada bulan Januari 2021 adalah sebanyak RM300.

37. Tiada permohonan yang perlu dibuat untuk mendapatkan bantuan BPN 2.0. Kerajaan akan menyalurkan bantuan secara terus kepada 10.6 juta penerima yang telah diluluskan di bawah BPN sebelum ini. Bagi mereka yang layak tetapi tidak pernah menerima BPN, Kerajaan akan memberi peluang untuk rayuan dan permohonan baharu.

Saya berharap dengan adanya bantuan tambahan ini, saudara dan saudari dapat menarik sedikit nafas lega dalam menampung perbelanjaan harian saudara saudari dan seisi keluarga.

38. Semua inisiatif khas di bawah KITA PRIHATIN ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan sebanyak RM10 bilion. Sekali lagi saya akan meminta Kementerian Kewangan dan agensi LAKSANA untuk memastikan bantuan dan inisiatif ini disalurkan kepada rakyat tepat pada masanya.

Saudara dan saudari rakyat Malaysia yang saya sayangi,

39. Selama 6 bulan yang lalu telah kita harungi tempoh yang sukar. Alhamdulillah, kita masih dapat bertahan. Saya berharap saudara saudari kekal istiqamah dalam mengamalkan penjagaan kendiri dan sentiasa patuhi setiap SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan untuk memastikan kita semua terlindung daripada wabak COVID 19.

40. Ingatlah, setiap tindakan kita boleh menentukan bukan sahaja keselamatan diri kita, tetapi juga keselamatan orang-orang yang dekat dengan kita – anak-anak kita, ibu-bapa kita, saudara-mara kita, rakan- rakan kita dan masyarakat di sekeliling kita. Wabak Covid-19 dan kesannya ke atas kehidupan manusia tidak membezakan antara kaum, agama atau fahaman politik. Kita semua terkesan dengan wabak ini tanpa ada yang terkecuali. Justeru, marilah kita bersama-sama menangani wabak ini seperti sebuah keluarga. Cubit paha kiri, paha kanan pun terasa.

41. Kita tidak boleh mengharapkan bantuan dari luar kerana negara- negara lain juga sedang bergelut menyelesaikan masalah mereka sendiri. Kita hanya dapat bergantung kepada sesama kita dalam sebuah keluarga besar rakyat Malaysia. Semangat “kekitaan” inilah yang kita mahukan. Bak ungkapan yang sering diucapkan – “Kita Jaga Kita”.

42. Saya ingin mengajak saudara dan saudari sekalian supaya bersama-sama dengan saya dan rakan-rakan dalam Kerajaan Perikatan Nasional untuk mengemudi negara dalam keadaan kita masih berhadapan dengan krisis ekonomi dan kesihatan pada masa ini. Pengumuman yang saya buat pada hari ini menandakan Kerajaan Perikatan Nasional mendengar rintihan saudara dan saudari sekalian. Kita cuba sedaya upaya untuk membantu rakyat menghadapi detik yang sukar ini.

43. Apa yang perlu ialah sebuah kerajaan yang stabil dan teguh dengan sokongan dan dokongan saudara dan saudari sekalian. Ini penting supaya lebih banyak inisiatif untuk memulihkan ekonomi dan membantu rakyat jelata dapat dilaksanakan dengan berkesan oleh kerajaan. Saya merayu saudara dan saudari sekalian supaya menolak tindakan membuta tuli segelintir ahli politik yang sengaja mahu menjejaskan kestabilan politik dan pelan pemulihan ekonomi negara yang sedang dilaksanakan dengan baik pada masa ini.

44. InsyaAllah, kita boleh melakar masa depan yang lebih baik dari semalam. Saya yakin dan percaya kepada kekuatan semangat kita sebagai rakyat Malaysia. Marilah kita bersama-sama mendoakan kemakmuran negara kita dan kesejahteraan seluruh rakyat. Mudah- mudahan pakej KITA PRIHATIN ini akan dapat memberikan manfaat yang besar kepada saudara dan saudari sekalian.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *