Kerajaan digesa benarkan pengeluaran maksimum RM50,000 wang KWSP


PUTRAJAYA – Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa untuk membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2.0 dengan kadar maksimum sebanyak RM50,000.


Pemilik akaun TikTok Wakil Rakyat Netizen, Jannahtul Ain Jaafar berkata, antara sebab desakan itu dibuat kerana rakyat sudah tidak mempunyai jalan keluar lain untuk mengatasi masalah kewangan ditanggung mereka.


Menurut Jannahtul, dia menggunakan aplikasi TikTok dan Telegram sebagai platform untuk mendengar pelbagai aduan serta keluh kesah orang ramai yang kebanyakannya semakin terhimpit dalam meneruskan kehidupan seharian selepas pandemik Covid-19.

“Antara luahan yang benar-benar memberi kesan apabila ada yang mahu melacur diri kerana mahukan wang segera setelah dihalau dari rumah sewa, ada juga yang berniat untuk bunuh diri kerana terlalu tertekan dan terpaksa berhutang dengan pemberi pinjaman wang haram.


“Selain itu, mereka yang menghidap penyakit kronik dan tidak mampu lagi bekerja juga antara yang mengharapkan pengeluaran KWSP ini demi kelangsungan hidup,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.


Terdahulu Jannahtul bersama Pengerusi Persatuan Disiplin dan Kaunseling Kebangsaan, Hairulanuar Md. Moktar berjaya menyerahkan memorandum tuntutan pengeluaran KWSP 2.0 berkenaan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhan Fauzi.

Jannahtul turut berharap Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar prihatin terhadap nasib pencarum dan dapat mendengar suara mereka dalam isu tersebut.


“Masih ramai yang tidak mampu bangkit terutama dalam memperbaiki kos sara hidup, ditambah pula dengan kenaikan harga barang yang sangat mendadak dan inflasi yang meningkat pasca pandemik.


“Sehubungan itu, kami para pencarum KWSP menuntut pengeluaran mengikut kategori dan keperluan untuk mendepani masa-masa akan datang,” ujarnya.


Jannahtul memaklumkan, dia secara sukarela mengumpulkan segala aduan daripada para pencarum sebelum tampil untuk menyerahkan memorandum berkenaan bagi menggesa supaya pengeluaran KWSP dibenarkan.- KOSMO! ONLINE


Post a Comment

0 Comments