Perkhidmatan bantuan kewangan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat disediakan kepada kumpulan sasar yang memerlukan supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan sempurna.
Secara prinsipnya, di dalam melaksanakan pemberian bantuan kepada rakyat, Kerajaan Malaysia tidak sesekali mengamalkan konsep Negara Kebajikan (Welfare State). Skim bantuan yang diwujudkan adalah sebagai alat dalam proses menolong klien ke arah pemulihan, pencegahan, pembangunan dan pengintegrasian, yang merupakan satu kaedah dalam kerja sosial.
Proses pemberian bantuan kebajikan juga mengambil kira potensi yang ada pada setiap penerima bantuan yang masih produktif ke arah hidup berdikari.
BANTUAN WARGA EMAS (BWE)
KADAR
- RM500 sebulan seorang.
TUJUAN
- Bantuan ini diberikan kepada warga emas untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.
KRITERIA KELAYAKAN KHUSUS
1. Warganegara dan bermastautin di Malaysia;
2. Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas;
3. Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata
Miskin Per Kapita Semasa; dan
4. Warga emas yang bukan tinggal di:
i. Institusi kendalian JKM; atau
ii. Pusat jagaan harian/ berkediaman yang memberi kemudahan / perkhidmatan secara percuma;
ATAU
1. Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.
Pelaksanaan bantuan kebajikan adalah selaras dengan Senarai Bersama (Concurrent List) antara Kerajaan persekutuan dengan Kerajaan Negeri, yang termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia di bawah senarai 3 - jadual kesembilan Senarai Perundangan.
CARA PERMOHONAN
- Pengendalian permohonan bantuan kewangan dibuat di peringkat Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian di seluruh negara. Setiap permohonan yang didaftarkan akan dijalankan siasatan untuk penilaian (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon. Urusan ini bersesuaian dengan prinsip penyampaian bantuan yang berdasarkan kepada kelayakan dan bukan hak.
- Untuk memudahkan urusan pentadbiran, pemohon diminta membawa dokumen sokongan semasa hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian seperti salinan Kad Pengenalan diri pemohon, salinan Kad Pengenalan suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama, salinan sijil kelahiran anak-anak / ahli keluarga yang tinggal bersama, salinan penyata gaji (jika ada), dan lain-lain dokumen yang berkaitan.
BORANG DIPERLUKAN
- Muat Turun dokumen tersebut disini
MAKLUMAT LANJUT
Jabatan Kebajikan Masyarakat
Aras 6, 9-18
No 55, Persiaran Perdana,
Presint 4,
62100 Putrajaya
Telefon : 03 - 8000 8000
Faks : 03 - 8323 2045
Emel : Maklum Balas (ISPAAA)
Post a Comment
0 Comments