Jangan terus 'tutup pintu' isu KWSP


Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi menggesa kerajaan mempertimbangkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.


Ahli Parlimen Bera itu berkata, kerajaan seharusnya tidak menutup terus pintu rundingan sebaliknya berbincang berkaitan pengeluaran secara bersasar itu.

"Yang penting jangan tutup pintu terus, buka dan bincang lagi. Saya harap beri ruang kepada mereka yang memerlukan untuk meneruskan kehidupan mereka.

"Kalau tidak ramai yang terjejas. Ini di Johor, banjir besar pun akan menyebabkan ramai yang memerlukan kewangan secara mendesak," katanya semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat di sini, tadi.


Ismail Sabri berkata, bantuan RM500 yang dimasukkan ke dalam akaun KWSP seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 baru-baru ini adalah satu usaha murni, tetapi ia bagi kegunaan hari pencen.


"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana berikan tambahan caruman sebanyak RM500 kepada pencarum B40.


"Tetapi RM500 itu dimasukkan ke dalam duit caruman untuk dikeluarkan sebelum pencen. Kalau penyimpan itu berumur 40 tahun, 15 tahun akan datang baru boleh keluar.


"Apa yang kerajaan buat itu adalah bagus dan murni tetapi yang rakyat nak sekarang, bukan 15 tahun akan datang," katanya



Post a Comment

0 Comments