Baitulmaqdis, Syria dikejutkan dengan ribut salji
BAITULMAQDIS: Salji memenuhi Baitulmaqdis dan timur Mediterranean Khamis lalu, susulan ribut yang jarang berlaku mengubah wajah bandar itu dan memeritkan lagi kehidupan pelarian Syria di wilayah berkenaan.
Kes jerembak sejuk itu, yang sudah pun mencetuskan gangguan besar di Athens dan Istanbul, menyebabkan hujan salji di beberapa kawasan yang kebiasaannya lebih dikenali kerana bahang musim panas.
Bandar itu mula dilanda salji pada Rabu, dan menjelang pagi Khamis, salji sudah memenuhi bumbung keemasan 'Dome of the Rock' atau Masjid Qubbah al-Sakhrah, dalam perkarangan Masjid Al-Aqsa.
Salji juga memenuhi terbuka di Dinding Barat atau Dinding Ratapan, yang juga tempat penganut Yahudi beribadat.
Perkhidmatan meteorologi Israel merekodkan hujan salji antara 15 hingga 25 sentimeter (sm) dalam tempoh semalaman.
Kenderaan pembersih salji hanya dapat membuka lebuh raya utama pada tengah hari, bagi membolehkan laluan menuju ke Baitulmaqdis dari arah utara, selatan dan barat.
Sekolah di Baitulmaqdis dan utara Israel ditutup akibat salji buat masa sekarang tetapi dijangka dibuka tidak lama lagi berikutan suhu semakin meningkat dan hujan.
Salji turut memenuhi kawasan tinggi di Tebing Barat yang diceroboh Israel, dengan Pihak Berkuasa Palestin menutup sekolah dan beberapa perkhidmatan awam.
Di Jordan, hujan salji meliputi laluan di ibu negara, Amman, menyebabkan keadaan diseluruh negara itu berbahaya untuk pemandu.
Jabatan Meteorologi Jordan meramalkan lebih banyak salji akan melanda di kawasan tinggi, dengan suhu dijangka turun ke bawah paras beku.
Mesir turut merekodkan musim sejuk paling dingin dalam tempoh 10 tahun, dengan suhu mencecah sehingga tujuh dan lapan darjah di bawah suhu purata pada musim itu.
Di Syria, hujan salji selama beberapa hari memenuhi kem pelarian di kawasan di barat laut negara itu yang dikawal pemberontak, memaksa kebanyakan keluarga terpaksa berpelukan di bawah kanvas dalam suhu di bawah paras beku.
Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) minggu ini melaporkan sekurang-kurangnya 227 kawasan pelarian di barat laut negara itu dilanda ribut salji kuat sejak 18 Januari lalu.
Katanya, 545 khemah musnah akibat ribut manakala 9,125 khemah lagi rosak akibat hujan salji, banjir dan angin kencang, yang turut memusnahkan harta benda milik pelarian. - AFP
Post a Comment
0 Comments