Larang berhijab di sekolah di India cetus ketegangan


NEW DELHI: Negeri Karnataka di selatan India menutup semua sekolah tinggi dan kolej selepas tercetus ketegangan apabila gadis Islam datang ke kelas memakai hijab.

Negeri yang diperintah oleh parti nasionalis Hindu, Parti Bharatiya Janata (BJP), tegang selama beberapa hari berturut-turut selepas beberapa sekolah di daerah pesisir pantai Udupi melarang gadis berhijab.

Tindakan itu mencetuskan bantahan oleh pelajar Islam, keluarga dan kumpulan masyarakat mereka yang mengatakan tindakan itu adalah diskriminasi agama.

Ramai gadis diganggu di khalayak ramai oleh pelajar yang berpihak kepada kumpulan nasionalis Hindu.

"Saya merayu kepada semua pelajar, guru dan pengurusan sekolah dan kolej serta penduduk Karnataka untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian

"Saya sudah mengarahkan penutupan semua sekolah menengah dan kolej untuk tiga hari akan datang, semua yang berkenaan diminta memberi kerjasama," kata Ketua Menteri Karnataka, Basavaraj Bommai, menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Bantahan turut dianjurkan di luar Udupi sebagai sokongan kepada pelajar berhijab.

Mahkamah Tinggi Karnataka mendengar kes berkenaan pada hari ini dan akan mendengar hujah lanjut esok. - BERNAMA


Post a Comment

0 Comments