Tebus Baucar Perlindungan Layak Bagi Penerima BKM

Perlindungan Tenang adalah sebuah inisiatif oleh industri insurans dan takaful yang menyediakan produk insurans dan takaful bagi memenuhi keperluan segmen yang masih tidak dilindungi, terutamanya golongan bawah 40% penduduk atau B40. Matlamat utama ialah menyediakan perlindungan insurans dan takaful dari sebarang risiko di dalam kehidupan, Perlindungan Tenang merangkumi produk-produk yang memenuhi kriteria iaitu Mampu Milik, Mudah Diakses, Mudah Difahami dan Proses Tuntutan yang Mudah.



BAUCAR PERLINDUNGAN TENANG
  1. Program Baucar Perlindungan Tenang merupakan inisiatif oleh Kerajaan Malaysia untuk memperluas perlindungan sosial kepada golongan berpendapatan rendah. Program ini telah dilancarkan pada September 2021 dan ditawarkan kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang layak.
  2. Pada tahun 2021, baucar RM50 telah diperuntukkan kepada penerima BPR yang layak untuk membeli/menyertai produk Perlindungan Tenang dari syarikat insurans dan pengedali takaful yang berlesen.
  3. Bermula pada 1 Januari 2022, baucar RM75 akan diperuntukkan untuk penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang layak untuk membeli/menyertai produk Perlindungan Tenang atau memperbaharui pelan Perlindungan Tenang yang sedia ada. Penerima BKM yang layak juga dibenarkan untuk menebus baucar RM75 untuk pembelian insurans/takaful motor komprehensif untuk motosikal 150cc dan ke bawah dibawah Fasa 2 Program PTV RM75 ini. Butiran lanjut untuk pelaksanaan Fasa 2 akan diumumkan kelak.

JUMLAH BAUCAR YANG DITERIMA
  1. Setiap penerima BKM yang layak hanya akan menerima satu baucar bernilai RM75. Baucar ini hanya boleh digunakan oleh penerima BKM yang layak dan tidak boleh dipindahmilik.


SYARAT KELAYAKAN

  1. Program ini terbuka kepada penerima BKM yang layak untuk kategori isi rumah, bujang dan warga emas.

CARA SEMAK KELAYAKAN 

Untuk menyemak kelayakan, sila ikuti langkah-langkah seperti di bawah:
  1. Langkah 1: Layari www.myptv.my
  2. Langkah 2: Masukkan maklumat Nombor Kad Pengenalan (NRIC) anda dan tandakan tik (/) di “YA, SAYA TELAH MEMBACA DAN MEMAHAMI NOTIS PRIVASI” dan “Saya bukan robot”.
  3. Langkah 3: Klik butang “Cari”. Jika anda layak untuk program ini, anda akan menerima nombor baucar dalam mesej seterusnya.
  4. Sebagai alternatif, anda juga boleh mengunjungi mana-mana cawangan atau ejen/pengedar syarikat insurans / pengendali takaful yang sah yang menawarkan produk Perlindungan Tenang untuk menyemak kelayakan anda.
Anda layak untuk menuntut baucar PTV RM75 pada tahun 2022, walaupun telah menuntut PTV RM50 pada tahun 2021.


CARA TEBUS BAUCAR

Terdapat dua kaedah untuk menebus Baucar semasa membeli produk anda:
  1. Kaedah 1 - Penebusan baucar untuk pembelian produk atas talian:
  2. Langkah 1: Layari www.mycoverage.my
  3. Langkah 2: Skrol ke bawah untuk melihat seksyen “Produk Perlindungan Tenang”. Klik ikon logo syarikat/produk Perlindungan Tenang untuk mendapatkan maklumat asas mengenai produk tersebut. Sila semak kriteria produk masing-masing seperti had umur dan jumlah premium/sumbangan sebelum memutuskan produk yang paling sesuai dengan keperluan anda.
  4. Langkah 3: Tekan butang “KETAHUI LEBIH LANJUT” dan anda akan dibawa ke laman web syarikat insurans atau pengendali takaful yang menawarkan produk Perlindungan Tenang tersebut.
  5. Langkah 4: Anda akan dibantu untuk melalui proses yang mudah untuk menyertai/membeli produk tersebut. Anda perlu mengisi maklumat yang diperlukan seperti nama, nombor Kad Pengenalan (NRIC), umur, jantina dan lain-lain untuk melengkapkan proses pembelian. Anda mungkin juga perlu memasukkan nombor Baucar Perlindungan Tenang unik anda untuk menuntut baucar tersebut semasa pembelian produk. Anda dinasihatkan untuk membaca terma dan syarat produk tersebut sebelum membuat pembelian.

    Kaedah 2 - Penebusan dan pembelian di kaunter:

  6. Anda juga boleh menebus baucar dan menyertai/membeli produk Perlindungan Tenang secara langsung dari kaunter pejabat cawagan atau ejen/pengedar sah syarikat insurans/pengendali takaful.
  7. Teliti dan fahami maklumat asas serta manfaat produk, termasuk menyemak kriteria produk seperti had umur dan jumlah premium/sumbangan sebelum memutuskan produk yang paling sesuai dengan keperluan anda. Anda akan dibantu sekiranya mempunyai sebarang persoalan mengenai produk Perlindungan Tenang tersebut.
  8. Sekiranya anda ingin meneruskan pembelian, anda akan diminta untuk mengisi maklumat yang diperlukan untuk melengkapkan proses pembelian.

    Sila ambil perhatian, proses ini mungkin berbeza mengikut syarikat insurans dan pengendali takaful masing-masing. Anda dinasihatkan untuk menghubungi wakil perkhidmatan pelanggan syarikat insurans dan pengendali takaful masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Maklumat lanjut 

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai produk dan mempunyai sebarang soalan, sila hubungi Pusat Panggilan PTV di 03-77239333


Post a Comment

0 Comments