Nurul Izzah dilantik penasihat kanan ekonomi, kewangan PM

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


FMT melaporkan, pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bagi jawatan berkenaan berkuat kuasa 3 Januari lalu.


Anak Perdana Menteri itu berharap, pengalamannya sebagai Ahli Parlimen yang mana beliau mengendalikan isu kemiskinan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta perkhidmatannya dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan membantunya untuk bertugas dengan baik.


"Ini boleh dimanfaatkan dalam pembabitan saya bersama pakar dalam mengemudi tadbir urus ekonomi, kebertanggungjawaban dan dasar berasaskan bukti," lapor FMT memetik laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan.


Nurul Izzah berkata, salah satu matlamatnya adalah untuk menyalurkan dan memanfaatkan bakat terbaik dan cemerlang Malaysia, di dalam dan luar kerajaan, serta menambah nilai kepada usaha berterusan untuk memperbaiki keadaan ekonomi rakyat.


"Peranan baharu saya akan membolehkan saya memikul tanggungjawab baharu yang sudah pasti mencabar, berikutan masalah ekonomi yang kita hadapi.


"Bagaimanapun, saya yakin mampu menyumbang kepada evolusi Malaysia, yang bukan saja untuk pertumbuhan tetapi yang memartabatkan semua lapisan masyarakat dan menyediakan kesaksamaan dalam peluang," katanya.


Nurul Izzah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai selama dua penggal sejak 2008. Pada 2018 beliau menang di Parlimen Permatang Pauh, namun tewas di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.



Post a Comment

0 Comments