Pelantikan Nurul Izzah berbau nepotisme, kata pengkritik



Perdana Menteri Anwar Ibrahim dikritik beberapa pihak kerana melantik anaknya Nurul Izzah, sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan, dengan beberapa pengkritik berkata ia `berbau’ nepotisme.


Pengkritik berkata, walaupun lantikan itu secara pro bono tetapi ia mendedahkan kerajaan perpaduan pada serangan pembangkang.

Anwar mempertahankan pelantikan itu dengan berkata Nurul Izzah tidak mendapat sebarang elaun dan anaknya itu juga mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan ijazah kedua dalam dasar awam dan sosial dari Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat.


Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Azmil Tayeb berkata pelantikan Nurul Izzah `berbau’ nepotisme, dan menarik perhatian yang tidak sepatutnya kepada kerajaan perpaduan yang masih berusaha mengukuhkan kedudukannya.


“Saya tidak pasti sama ada pelantikan ini akan memakan diri, tetapi ia sudah pasti umpama memberi peluru kepada pembangkang,” katanya kepada FMT.


“Ramai lagi pakar yang berkelayakan untuk menjadi penasihat kanannya.


“Orang ramai akan mempersoalkan motif melantik anak perempuan sendiri sedangkan di Malaysia masih ramai bakat untuk mengisi kekosongan itu. Walaupun secara pro bono tetapi persepsi adalah yang utama,” katanya.


Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpendapat apa yang Anwar lakukan itu bertentangan dengan desakannya sebelum ini mengenai urus tadbir baik, yang menghalang amalan nepotisme.


Katanya, orang ramai akan melihat Anwar cuba membantu karier politik Nurul Izzah selepas anaknya itu gagal mempertahankan kerusi tradisi keluarganya iaitu Parlimen Permatang Pauh pada PRU15.


“Saya berpendapat ia tidak berjalan dengan baik untuk perdana menteri kerana beliau akan dipersoal berhubung perlantikan itu ketika terdapat ramai pakar berkelayakan dalam ekonomi sekiranya beliau betul-betul memerlukan seorang penasihat,” katanya.


Kata Azmi lagi, Anwar sudah mempunyai sekumpulan penasihat di Kementerian Kewangan dan Rafizi Ramli sebagai menteri hal ehwal ekonomi.


Azmi mencadangkan kepada Anwar untuk melantik sekumpulan penasihat ekonomi untuk membantunya dan hanya melantik Nurul Izzah jika ada keperluan berbuat demikian.


Pengkhianatan terhadap reformasi


Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, perlantikan Nurul Izzah adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap agenda “reformasi” yang sering dilaungkan Anwar, dan menggambarkan keadaan itu seperti “Anak beranak jaga kantung perbendaharaan negara”.


“Bukankah Nurul Izzah bercakap di World Economic Forum 2017 bahawa janji Pakatan Harapan ialah pisahkan peranan dan jawatan menteri kewangan daripada perdana menteri?,” kata Ketua Pemuda Bersatu itu di Facebook.


Beliau juga bertanya apakah perbezaan keluarga Anwar dengan keluarga bekas presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang melantik anak perempuannya yang juga ahli perniagaan, Ivanka Trump sebagai penasihatnya pada 2017 hingga mendapat kecaman orang ramai.


Post a Comment

0 Comments