Program CSR Hasil Prihatin agih 5,055 bakul makanan

 


Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengagihkan 5,055 bakul makanan kepada golongan yang memerlukan menerusi Program CSR Hasil Prihatin.

LHDN dalam satu kenyataan memaklumkan, program itu adalah siri penyampaian sumbangan makanan dan barang keperluan asas yang dilancarkan Kementerian Kewangan pada 31 Julai lalu.

Dalam agihan baru-baru ini, sebanyak 500 bakul makanan diserahkan kepada penduduk di Rawang serta Muar dan Segamat, Johor.

"LHDN terus berusaha menzahirkan keprihatinan dalam membantu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik dengan mengagihkan bakul makanan kepada mereka menerusi Program CSR Hasil Prihatin," kata kenyataan itu.

Dalam program di Masjid Bandar Tasik Puteri, Rawang sebanyak 300 bakul makanan diserahkan kepada wakil penduduk oleh Pengarah LHDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohamad Zain Mohamad Said untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Bagi program di Johor pula, sebanyak 200 bakul makanan diserahkan Pengarah LHDN Johor, Md Kamal Johan kepada wakil surau dan pertubuhan di sekitar Muar dan Segamat untuk diagihkan kepada penerima yang sudah dikenal pasti.

"Surau dan pertubuhan yang terbabit termasuk Surau Pengkalan Parit Tiram, Penghulu Mukim Parit Jawa, Kelab Warisan Prihatin di Muar, manakala di Segamat, Pertubuhan Kebajikan Nur Kasih," kata LHDN.

Program CSR Hasil Prihatin akan diperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara khusus untuk membantu golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.


Sumber: BeritaHarian,LHDN


Post a Comment

0 Comments