Individu tidak divaksin dilarang kembali ke tempat kerja


SINGAPURA: Mulai 15 Januari, individu di negara ini yang tidak divaksin dilarang kembali ke tempat kerja walaupun keputusan saringan sebelum acara (PET) COVID-19 adalah negatif.

Ia berbeza dengan keputusan pada Oktober lalu apabila Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura ketika itu mengumumkan, individu yang tidak divaksin boleh ke tempat kerja jika keputusan ujian saringan COVID-19 adalah negatif.

Menurut MOH keputusan baharu itu dibuat selepas perbincangan dengan beberapa pihak berkaitan.

"Susulan penelitian semula dan perbincangan dengan tiga pihak berkaitan, kami memutuskan untuk membatalkan konsesi PET bagi individu tidak divaksin untuk kembali ke pejabat bermula 15 Januari 2022," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kementerian itu, individu yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan belum lengkap divaksin akan diberikan tempoh sehingga 31 Januari untuk melengkapkan vaksinasi masing-masing.


Dalam tempoh itu, katanya, mereka boleh kembali ke tempat kerja sekiranya keputusan saringan PET adalah negatif.

"Perubahan ini akan membantu melindungi individu tidak divaksin dan mewujudkan suasana di tempat kerja yang lebih selamat kepada semua orang," katanya.

Dalam pada itu, vaksinasi turut menjadi syarat bagi kelulusan pas jangka panjang baharu, pengeluaran baharu atau pembaharuan pas pekerja dan penduduk tetap (PR) bermula 1 Februari depan.

Menurut MOH, majikan yang memiliki pas pekerja perlu membuat pengisytiharan ketika membuat permohonan, bahawa pekerja dan ahli keluarga mereka sudah lengkap divaksin ketika tiba di Singapura.

Pemegang pas itu perlu memuat naik sijil vaksinasi dalam sistem Portal Pemeriksaan Vaksinasi di bawah Pihak Berkuasa Imigresen dan Sempadan, manakala yang tiada sijil digital perlu menunjukkan sijil fizikal kepada petugas di lapangan terbang, operator feri atau di sempadan sebelum berlepas.

Individu yang gagal menunjukkan dokumen berkenaan tidak akan dibenarkan memasuki kapal terbang atau masuk ke Singapura, kecuali menerima pengecualian khas.

Sebaik tiba di Singapura, pekerja itu perlu mengemas kini rekod vaksinasi dalam Pendaftaran Imunisasi Nasional (NIR), dan diberi 30 hari selepas tiba untuk menjalani ujian serologi dengan keputusan positif di Klinik Persediaan Kesihatan Awam negara itu.

Sekiranya ujian itu negatif, mereka diwajibkan melengkapkan proses vaksinasi di Singapura atau pas pekerja mereka akan dibatalkan. - AGENSI


Post a Comment

0 Comments