Vaksin Moderna boleh bawa sedikit risiko masalah jantung

PARIS: Suntikan vaksin Moderna boleh membawa sedikit risiko masalah jantung yang secara lazimnya tidak serius, menurut hasil satu kajian membabitkan seluruh populasi Denmark, hari ini.


Insiden miokarditis (keradangan otot jantung) dan perikarditis (keradangan tisu di sekeliling jantung) selepas disuntik mRNA keluaran Pfizer dan Moderna, telah dinyatakan dalam laporan keselamatan vaksin serta kajian berskala kecil sebelum ini.


Laporan terbabit menyebabkan Perancis, Denmark dan beberapa negara lain menasihati individu bawah umur 30 tahun supaya tidak mengambil suntikan vaksin COVID-19 berkenaan.


"Vaksinasi membabitkan mRNA-1273 (Moderna) dikaitkan dengan peningkatan kadar miokarditis atau mioperikarditis yang signifikan, terutama dalam kalangan individu berumur antara 12 hingga 39 tahun," menurut kajian itu.

Menurutnya lagi, vaksin Pfizer pula hanya dikaitkan dengan peningkatan risiko dalam kalangan wanita.



Hasil kajian diterbitkan dalam jurnal perubatan BMJ itu adalah yang pertama meneliti kesan sampingan ke atas keseluruhan populasi.

Meskipun mengesahkan risiko terbabit, kajian itu menekankan bahawa ia adalah sedikit berbanding jangkitan COVID-19 yang memberi risiko lebih besar.


Malah dalam kalangan penerima vaksin yang mengalami miokarditis atau perikarditis, katanya, hanya 'sebilangan kecil' mengalami kesan teruk.


Berdasarkan kes membabitkan 21 individu didiagnosis mengalami keradangan itu selepas menerima suntikan vaksin Moderna, lebih separuh dibenarkan keluar hospital dalam tempoh 72 jam dan tiada kes kematian atau pesakit mengalami kegagalan jantung.


"Dapatan kami menunjukkan risiko miokarditis atau mioperikarditis yang betul-betul rendah dengan vaksin BNT162b2 atau mRNA-1273, menyokong faedah vaksinasi berkenaan secara menyeluruh pada peringkat individu, masyarakat dan global," rumus kajian itu. - AFP


Post a Comment

0 Comments