Kajian dapati 97.1% mahu pengeluaran KWSP RM10,000 sekali bayar

Sebanyak 97.1 peratus atau 21,524 individu memerlukan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra RM10,000 secara sekali bayar (one off) bagi meringankan beban kehidupan mereka ketika ini.

Dapatan itu diperoleh melalui Kajian Awam Pengeluaran KWSP i-Citra yang dibuat Pergerakan Pemuda UMNO pada 11 hingga 12 Januari lalu menggunakan kaedah bancian secara maya.


Pengerusi Biro Penyelidikan Pemuda UMNO, Azril Rizal Yusof Sarit berkata, menerusi bancian tersebut, faktor seperti mahu membaiki rumah akibat banjir, bebanan hutang, modal runcit dan tabungan kecemasan menjadi antara alasan untuk pengeluaran tersebut.

“Kumpulan individu tertinggi mahukan pengeluaran itu melibatkan umur antara 34 hingga 44 tahun dengan jumlah sebanyak 10,698, manakala seramai 5,455 (25 hingga 34 tahun) dan 5,150 (45 hingga 54 tahun).


“Selain itu, sebanyak 21,458 individu turut berpendapat bahawa kerajaan perlu meluluskan i-Citra kali ini,” katanya dalam sidang akhbar khas di ibu negara, hari ini. 


Beliau ketika ditanya sama ada hasil laporan itu akan di bawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Azril Rizal mengesahkan ia akan dibawa dalam masa terdekat. 


“Kita akan berikan dapatan kajian itu kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki untuk diberikan kepada Perdana Menteri.


“Dapatan kajian itu juga akan dibentangkan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi selain berkemungkinan dibawa pada Perhimpunan Agung UMNO Mac depan,” jelasnya.


Sebelum ini, Perdana Menteri menjelaskan pengeluaran tersebut tidak akan berlaku berikutan mengambil kira beberapa faktor termasuk masa depan kewangan pencarum kelak. – UTUSAN ONLINE


Post a Comment

0 Comments