KKM kaji keperluan dos penggalak keempat


KUALA LUMPUR: Kumpulan teknikal Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengkaji keperluan memberikan suntikan dos penggalak keempat, susulan ancaman penularan jangkitan Omicron.


Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan pihaknya mengambil maklum berhubung kajian yang mendapati pemberian dos penggalak Pfizer kepada penerima suntikan primer jenis Sinovac adalah tidak mencukupi bagi membendung jangkitan Omicron.


Sehubungan itu, katanya, kumpulan teknikal kementerian akan mengemukakan syor berkaitan kepada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) selepas kajian berkenaan dimuktamadkan.


"Kita sudah menerima berita itu, justeru kumpulan teknikal sedang kaji dan selepas maklumat diperoleh, mereka akan buat syor kepada CITF seperti biasa.


"Sama ada mereka yang terima Sinovac-Sinovac (suntikan primer dua dos) dan (dos penggalak) Pfizer mesti dilengkapi satu lagi dos.


"Tetapi terlalu awal untuk buat kesimpulan ini," katanya kepada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.


Kajian sekumpulan penyelidik dari Universiti Yale, Kementerian Kesihatan Republik Dominican serta beberapa institusi lain, semalam mendedahkan bahawa suntikan dua dos vaksin COVID-19 jenis Sinovac diikuti dos penggalak Pfizer-BioNTech menunjukkan tindak balas imun yang rendah melawan Omicron, berbanding varian lain.


Menurut kajian itu, suntikan dua dos Sinovac disusuli suntikan dos penggalak Pfizer-BioNTech hanya menghasilkan antibodi serupa dengan dua dos vaksin jenis Messenger Asid Ribonukleik atau mRNA, sekali gus menyaksikan tahap antibodi terhadap Omicron adalah 6.3 kali lebih rendah berbanding varian asal dan 2.7 kali lebih rendah jika dibandingkan dengan Delta. 

-Berita Harian


Post a Comment

0 Comments