Permohoanan (SPIM) Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) ditangguh sementara

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menangguhkan sementara permohonan Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) yang ditawarkan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN).

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata ia bagi memberi ruang kepada TEKUN memproses 23,277 permohonan sedia ada.

"Untuk SPIM, sejumlah RM200 juta diperuntukkan TEKUN untuk diberikan kepada usahawan iaitu maksimum RM10,000 setiap penerima.

"Dengan jumlah permohonan yang diterima setakat ini, TEKUN menganggarkan ia membabitkan pembiayaan berjumlah RM187 juta manakala baki RM13 juta digunakan untuk membantu usahawan yang terjejas banjir baru-baru ini.


"Justeru, kita tangguhkan sementara permohonan baharu bagi SPIM bagi menyelesaikan permohonan sedia ada," katanya pada sidang media selepas sesi tinjauan mesra Skim Pembiayaan Informal dan Mikro di Kompleks KPPMS Seksyen 3 di sini, hari ini.

Noh berkata, TEKUN akan mempercepatkan proses kelulusan dan permohonan paling banyak diterima dari Selangor.

Setakat ini, katanya, sejumlah 3,844 permohonan diterima di Selangor yang mana 935 daripadanya sudah diluluskan membabitkan peruntukan RM9.1 juta.

"Bagi usahawan yang terjejas banjir di Selangor, sebanyak 164 permohonan diterima dengan 114 sudah diluluskan sehingga kini membabitkan peruntukan berjumlah RM1.1 juta," katanya.

Terdahulu pada sesi itu, Noh menyampaikan cek pembiayaan kepada 21 usahawan dan pemberian pinjaman tanpa faedah itu turut menawarkan moratorium setahun.

Beliau berkata, usahawan yang mendapat pinjaman berkenaan hanya perlu membuat pembayaran selepas setahun pinjaman diluluskan.

"Agensi MEDAC sedang mengesan usahawan di bawah kita yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

"Jika saya sudah dapat jumlah usahawan dan kategori mereka, kita akan lihat bentuk bantuan yang boleh diberi selain pemberian pinjaman," katanya.


Post a Comment

0 Comments