ProRakyat serah petisyen wakili 100,000 pencarum KWSP kepada Agong
ProRakyat serah petisyen wakili 100,000 pencarum KWSP kepada Agong
Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (ProRakyat) hari ini menyerahkan petisyen yang ditandatangani lebih 100,000 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Petisyen itu mewakili pencarum bagi menuntut pengeluaran tunai RM10,000 secara one-off buat kali terakhir dengan kadar segera di musim pandemik Covid-19 bagi yang mempunyai baki mencukupi dan jumlah yang rasional bagi yang berbaki kurang RM10,000 dalam Akaun 1 KWSP.
Presiden ProRakyat, Khairul Anuar Othman berkata, pihaknya mewakili pencarum merayu dan meminta Seri Paduka mendengar rintihan suara hati dan nurani pencarum.
Katanya, ini kerana setiap hari, waktu dan masa pertubuhannya menerima panggilan aduan daripada pencarum yang terkesan.
“Ada yang sanggup nak jual rumah, ada yang sanggup kehilangan kereta, ada yang dibuang kerja, ada yang jadi penganggur, ada yang sanggup paling teruk menjadi pelacur dan yang terkini yang baru kami dengar, ada yang sanggup bunuh diri.
“Wahai kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, wahai Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tolong kami bantu kami rakyat kerana sudah tidak sabar lagi.
“Kami tak mahu adakan perhimpunan kerana kami merayu, tetapi ingat sekiranya anda tak meluluskan permintaan kami, maka satu perhimpunan besar akan saya lakukan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan petisyen itu, hari ini.
Petisyen itu diserahkan kepada Pegawai Tadbir Urusan Diraja Istana Negara, Muhammad Iqbal Zahanuddin di Pintu 3, Istana Negara di sini.
Dalam pada itu, seorang aktivis ProRakyat, Azmi Mohd Tahir berkata, pihaknya mengharapkan Seri Paduka dapat berbincang dengan kerajaan dan memberi nasihat kepada Perdana Menteri untuk mempertimbangkan tuntutan itu.
Katanya, pihaknya juga amat mengharapkan keputusan mengenai memorandum itu positif dan akan sentiasa mendapatkan perkembangan terkini mengenai tuntutan itu daripada pihak Istana.
“Sebanyak dua petisyen yang kami hantar, satunya adalah tuntutan RM10,000 yang ditandatangani oleh pencarum yang betul-betul terkesan.
“Satu lagi adalah pencarum mendesak Tengku Zafrul meletak jawatan, jadi sememangnya harap pihak Istana berbincang dengan kerajaan untuk gantikan Tengku Zafrul kepada seorang yang berhati rakyat, wakil rakyat yang berwibawa, berintegriti dan lebih kepada rakyat, bukannya kroni-kroni,” jelasnya.
Sumber : UtusanMalaysia
Post a Comment
0 Comments