Harga minyak dijangka catat rekod tertinggi baharu
Harga minyak mentah berpotensi mencecah AS$150 setong yang juga paras tertinggi baharu, namun berkemungkinan untuk tempoh sehingga krisis Russia-Ukraine dapat diselesaikan.
Ketua Penyelidik Rakuten Trade, Kenny Yee Shen Pin, berkata lonjakan harga minyak mentah adalah reaksi segera dan implikasinya ke atas ekonomi global mungkin agak ketara terutama di negara maju dan pesat membangun, termasuk Malaysia.
Katanya, berdasarkan permintaan dan penawaran, negara pengeluar minyak mentah memiliki keupayaan untuk meningkatkan pengeluaran bagi memanfaatkan tempoh krisis dan memenuhi permintaan pengguna.
"Harga minyak mentah didagangkan sekitar AS$130 setong ketika ini dan semakin menghampiri paras AS$150 setong selain turut mempengaruhi komoditi lain memandangkan Russia dan Ukraine adalah antara pengeksport terbesar komoditi dunia.
"Sehingga adanya gencatan senjata di Russia-Ukraine, kita akan melihat harga minyak mentah dan komoditi lain kekal tinggi," katanya pada taklimat media secara maya Unjuran Pasaran Suku Pertama 2022, hari ini.
Yang turut serta, Naib Presiden Penyelidik Rakuten Trade, Thong Pak Leng.
Rekod tertinggi harga minyak penanda aras Brent adalah AS$147.50 setong pada Julai 2008.
Harga minyak mentah Brent melonjak ke paras tertinggi hampir 14 tahun kepada AS$140 setong kelmarin ketika peniaga semakin bimbang dengan kesan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Minyak mentah Brent North Sea untuk penghantaran Mei mencecah AS$139.13 sejurus selepas dagangan elektronik dibuka, menuju ke arah rekod tertinggi 2008 sebelum turun sedikit dalam sejam berikutnya.
Harga minyak Brent meningkat 33 peratus sejak Russia menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu.
Shen Pin berkata, harga minyak mentah yang melepasi paras AS$100 setong dijangka memberikan kelegaan terhadap kedudukan fiskal negara yang terjejas akibat COVID-19.
"Kita semua tahu bahawa harga yang mampan disebabkan oleh keadaan permintaan dan penawaran yang stabil.
"Justeru, krisis Russia-Ukraine ini akan menyaksikan negara utama Eropah akan menyelesaikan konflik secepat mungkin kerana jika berlanjutan untuk tempoh lama, ia akan memberi kesan kepada ekonomi masing-masing," katanya.
Sementara itu, beliau berkata Rakuten Trade mengunjurkan penanda aras utama Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencecah paras 1,700 mata menjelang akhir tahun disokong kemasukan dana asing yang berterusan di pasaran ekuiti tempatan.
"Prestasi FBM KLCI sangat penting dalam tempoh jangka pendek dan sasaran 1,700 mata menjelang akhir tahun ini bakal disokong oleh pendapatan lebih baik sektor perbankan, perladangan telekomunikasi dan perjudian," katanya.
Berhubung pertukaran asing, Shen Pin berkata, Rakuten Trade menjangkakan ringgit akan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah pemulihan harga minyak mentah dan aliran masuk dana asing ke Malaysia.
"Secara keseluruhan, kami menjangkakan ringgit akan meningkat sekitar RM4.10/4.15 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini," katanya.
Sumber Berita Harian
Post a Comment
0 Comments