KWSP Bersyarat ? Mungkin Ini Syarat Yang Akan Dikenakan !
Gabungan Majikan Malaysia (MEF) berharap kerajaan tidak membenarkan kelulusan berskala penuh bagi pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sebaliknya, Pengerusi MEF Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman bahawa pengeluaran tambahan sehingga RM10,000 perlu dibenarkan untuk keperluan atau keadaan khas.
“Dengan itu, MEF mengharapkan kepimpinan KWSP mengambil dan memperincikan keadaan khusus sebagai asas untuk membenarkan pengeluaran khas ini," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau Berkata MEF bimbang pengeluaran caruman ahli KWSP oleh kemudahan program iLestari, iSinar dan iCitra, yang sebelum ini mencecah RM101.1 bilion, meletakkan mereka dalam risiko kemiskinan hari tua.
Malah, katanya, kira-kira 48 peratus ahli KWSP berusia di bawah 55 tahun mempunyai simpanan yang kritikal atau amat rendah.
“Bagi memastikan jumlah simpanan KWSP memadai, ahli yang membuat pengeluaran KWSP itu perlu bekerja tambahan empat tahun hingga enam tahun untuk menampung semula wang yang dikeluarkan sebelum ini.
“Memandangkan kemungkinan had usia persaraan tidak dinaikkan, pekerja terbabit dijangkakan tidak mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi,” katanya.
Syed Hussain berkata, kerajaan juga perlu bertanggungjawab dalam memastikan ahli atau pencarum mempunyai simpanan mencukupi untuk menjalani kehidupan biasa selepas bersara kelak.
“Kerajaan perlu memikirkan skim lain untuk membantu mereka daripada bertindak mengeluarkan simpanan yang sepatutnya bagi tujuan menampung keperluan usia persaraan. Tanggung jawab ini tidak boleh dilepaskan kepada pekerja secara individu.
“Jika dilihat daripada keadaan semasa, sudah pasti ianya membimbangkan apabila hanya 3.0 peratus daripada rakyat Malaysia yang mampu bersara dengan selesa.
“Ini juga jelas menunjukkan bahawa kita memerlukan penyelesaian lebih luas dari segi program jaringan keselamatan sosial yang berkesan, dasar pasaran buruh yang mantap, pertumbuhan ekonomi mampan dan usaha meningkatkan dan kemahiran semula pekerja.
“Polisi juga diperlukan untuk menggalakkan automasi dan pendigitalan bagi meningkatkan produktiviti dan memastikan peluang yang lebih besar untuk faedah ekonomi supaya pekerja boleh memperoleh lebih banyak dan seterusnya meningkatkan caruman mereka kepada KWSP,” katanya.
Post a Comment
0 Comments