'Mengugut tukar warna sijil MySejahtera jika tidak ambil booster'

Seorang penyokong kerajaan menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menukar warna sijil pelalian MySejahtera individu yang tidak mengambil dos penggalak.


Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) berkata, tindakan itu tidak ubah seperti ugutan kepada rakyat yang sudah cukup tertekan kesan pandemik COVID-19.


Katanya, tindakan sedemikian tidak perlu kerana ada individu yang mempunyai masalah kesihatan, selepas menerima vaksin.


"Kenapa KKM mahu mencipta ketakutan kepada orang ramai. Bukankah lebih baik mendidik secara berhemah, bukannya mengugut seperti ini," katanya membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin memaklumkan sijil vaksinasi penerima dos primer Sinovac bagi individu berumur 18 tahun ke atas dan semua warga emas tidak kira jenis vaksin primer, akan bertukar kepada putih di aplikasi MySejahtera, sekiranya mereka tidak mengambil dos penggalak selepas 31 Mac ini,

Jelasnya, keputusan itu muktamad dan tiada lanjutan tempoh diberikan.


"Pada 1 April bagi penerima dos primer Sinovac tak kira usia termasuk penerima 18 tahun dan ke atas dan bagi semua warga emas tak kira jenis vaksin dos primer yang tidak ambil dos penggalak, sijil status vaksinasi mereka akan bertukar daripada kuning kepada putih. Itu muktamad," katanya pada sidang media sempena Hari Pendengaran Sedunia 2022.


Sebelum ini, kerajaan melanjutkan tempoh pemberian dos penggalak sehingga 31 Mac kepada individu penerima vaksin Sinovac, selepas syarat dos penggalak kepada penerima individu berusia 60 tahun ke atas berakhir pada 28 Februari lalu.


King Sing turut membangkitkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi kes kuarantin pesakit positif COVID-19 dan kontak rapat yang sudah menerima vaksin dos penggalak.


Katanya, kelonggaran ini menimbulkan kekeliruan tambahan pula jika membabitkan kes positif dalam satu keluarga atau tempat kerja.


"Apa jaminan kerajaan dalam hal ini. Mengapa vaksin menjadi pertimbangan untuk kuarantin.


"Saya mohon supaya nilai ambang kitaran (CT) bagi pesakit COVID-19 diambil kira dalam penetapan jumlah hari kuarantin ini kerana kita tidak tahu, sama ada mereka yang dijangkiti ini memberi risiko kepada orang yang belum dijangkiti.


"Saya juga mahu KKM maklumkan kepada kita, kajian mana yang menyatakan kontak rapat tanpa gejala yang sudah menerima dos penggalak ini, tidak mungkin menyebabkan jangkitan kepada orang lain atau berisiko terkena COVID-19," katanya.


Beliau membangkitkan rakyat keliru kerana kes COVID-19 kini semakin meningkat, malah jumlah kematian juga bertambah dan wad unit rawatan rapi (ICU) kapasitinya semakin penuh, tetapi KKM melonggarkan banyak SOP.


Mengenai pelalian kepada kanak-kanak berumur bawah 12 tahun, katanya, KKM perlu memberikan kebebasan untuk ibu bapa kanak-kanak memilih jenis vaksin yang mereka inginkan bukannya menetapkan hanya vaksin keluaran Pfizer saja.


Turut dibangkitkan mengenai kesan sampingan vaksin kepada kumpulan warga emas dan mereka yang ada masalah kesihatan.


"KKM perlu membuat penyelidikan berhubung kesan sampingan ini dan tidak hanya memberi alasan berlaku komplikasi, jika berlaku perkara itu," katanya.


Turut mencelah perbahasan Datuk Seri Salim Sharif (BN-Jempol) yang mahu kerajaan mengawal harga ujian RT-PCR COVID-19 yang dilakukan makmal swasta.


Katanya, rakyat sudah cukup terkesan akibat penyebaran COVID-19 dalam dua tahun ini dan kini terbelenggu dengan kos ujian RT-PCR yang tinggi, terutama jika mahu menaiki pesawat ke Sabah dan Sarawak.


"Kita harap kerajaan tetapkan siling harga untuk perkhidmatan ini," katanya.


Post a Comment

0 Comments