'Ryuji silap beri penalti'


Vietnam tidak berhak dihadiahkan sepakan penalti sekiranya pengadil perlawanan, Sato Ryuji mengambil kira kekasaran pertama dilakukan pemain tuan rumah, Doan Van Hau ke atas pemain Malaysia, Azam Azmi Murad ketika aksi Piala AFF di Hanoi, malam tadi.


Bagaimanapun, bekas pengadil kebangsaan dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Subkhiddin Mohd Salleh menjelaskan apabila Ryuji memutuskan untuk meneruskan permainan dan terdapat insiden tolak menolak berlaku antara kedua-dua pemain terbabit, keputusan untuk memberikan sepakan

penalti adalah tepat biarpun ia berlaku di luar padang.


Tenaga Pengajar Teknikal FIFA itu berkata, selepas meneliti rakaman video yang dihantar kepadanya, terdapat dua senario yang menyebabkan Ryuji memberikan sepakan penalti dan melayangkan kad merah kepada Azam Azmi.


"Berdasarkan rakaman video itu, saya dapat faham mengapa insiden itu berlaku. Ada dua senario yang mana kita perlu faham dahulu undang-undang.


"Jika insiden itu berlaku di luar garisan sempadan permainan dan berhampiran kawasan penalti… contohnya insiden yang kita lihat sebentar tadi, insiden itu berlaku di garisan gol dan berhampiran atau sempadan kawasan penalti.



"Pada ketika itu, bola masih dalam permainan. Jadi, mana-mana insiden yang berlaku di kawasan penalti di luar sempadannya, maka pengadil perlu mulakan semula permainan dengan penalti.


"Cuma, pada pandangan saya maklumat pertama yang perlu diberikan kepada pengadil adalah kesalahan yang dilakukan pemain Vietnam. Kemudian berlaku pula tindak balas daripada pemain Malaysia yang saya tidak pasti

kerana dalam video tidak jelas.


"Jadi, kalau berlaku tindak balas, kalau perlu kad merah, kad merah la kepada pemain Malaysia. Tetapi perlu dimulakan semula sama ada dengan sepakan percuma kerana insiden pertama itu berlaku disebabkan tolakan daripada pemain Vietnam.


"Maka, pada pandangan saya adalah sepakan percuma kepada pasukan Malaysia dan insiden selepas itu adalah kad merah untuk pemain Malaysia kalau benar dia ada melakukan tindak balas seperti menyepak dan sebagainya kepada pemain lawan.


"Mungkin pengadil terlepas pandang kesalahan pertama yang dilakukan pemain Vietnam… itu pandangan saya," katanya kepada dalam rakaman temu bual bersama Astro Arena.


Pada aksi di Stadium My Dinh itu, Malaysia terpaksa akur apabila tewas 0-3 di tangan Vietnam.


Post a Comment

0 Comments